Syarikat gergasi hartanah China, Evergrande Group dilaporkan memfailkan perlindungan muflis di Amerika Syarikat di tengah-tengah krisis hartanah yang semakin meruncing.
Pada hari Khamis, Evergrande telah membuat pemfailan perlindungan kebankrapan Bab 15 di mahkamah New York.
Ini akan membolehkan syarikat yang dikelilingi hutang itu melindungi asetnya daripada pemiutang ketika ia sedang berusaha untuk penstrukturan semula hutangnya.
Langkah itu dibuat ketika masalah dalam pasaran hartanah China memburukkan lagi kebimbangan mengenai ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Unit hartanahnya mempunyai lebih daripada 1,300 projek di lebih daripada 280 bandar serta turut memiliki perniagaan seperti pembuat kereta elektrik dan kelab bola sepak.
Syarikat itu, yang gagal membayar balik hutangnya pada 2021, telah berusaha untuk merundingkan semula perjanjiannya dengan pemiutang.
Dengan hutang dianggarkan berjumlah lebih daripada $300 bilion, ia merupakan pemaju hartanah yang paling banyak berhutang di dunia.
Minggu lalu, sebuah lagi gergasi hartanah utama China, Country Garden telah memberi amaran bahawa ia mungkin kerugian sehingga $7.6 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini.
Malah, beberapa syarikat besar lain dalam pasaran hartanah China juga sedang bergelut untuk mencari wang dalam menyelesaikan projek pembangunan.