US dolar didagangkan stabil ketika pelabur menantikan petunjuk lebih jelas untuk pergerakan pasaran seterusnya daripada data ekonomi Eropah dan Amerika Syarikat.
Permintaan untuk aset berisiko secara amnya masih utuh, menyaksikan pasaran saham global melonjak tinggi pada sesi dagangan Rabu.
Bagaimanapun, pengukuhan dalam mata wang utama pula dilihat berkurangan dengan dolar New Zealand mendahului penyusutan lebih rendah dan diikuti oleh dolar Aussie.
Dolar Kanada pula tanpa dijangka lebih kuat untuk didagangkan pada paras tertinggi 4 minggu berbanding USD walaupun terdapat penurunan dalam harga minyak mentah.
Sementara itu, euro didagangkan mendatar apabila pelabur lebih berhati-hati menjelang terbitan data inflasi Jerman bagi bulan Mac pada sesi Eropah akan datang.
Mata wang pound pula kembali berundur selepas mencapai puncak tertinggi terbaru 2 bulan berbanding greenback pada sesi terdahulu.
Selain itu, yen pula tergelincir lebih rendah berbanding US dolar menjelang penghujung tahun fiskal Jepun (31 Mac).
Bacaan akhir untuk data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS pada sesi New York akan menjadi penentu pergerakan seterusnya pasaran terutamanya US dolar.
Ekonomi AS dijangka berkembang sebanyak 2.7% pada suku keempat 2022, tidak berubah daripada ramalan pasaran.
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan sedikit meningkat pada 102.70 pada sesi Asia.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.