Menteri Kewangan Jepun menyatakan pada hari Selasa bahawa pihak berkuasa tidak akan menolak sebarang pilihan dalam mengendalikan ketidakstabilan mata wang yang berlebihan, menekankan amaran yang telah membuatkan para pelabur dan trader berwaspada terhadap campur tangan untuk menyokong yen yang lemah.
Ditekan oleh dasar monetari yang diterapkan, mata wang yen telah merosot dalam beberapa hari ke arah 150 yen untuk setiap dolar, tahap yang dilihat oleh pasaran kewangan sebagai garis merah yang akan mendorong pihak berkuasa Jepun untuk campur tangan, seperti yang mereka lakukan tahun lalu.
“Ketidakstabilan yang berlebihan adalah tidak diingini,” kata menteri Shunichi Suzuki, kepada wartawan. Kemudian apabila yen jatuh melebihi 149 yen untuk setiap dolar, terendah sejak Oktober 2022, beliau berkata “kami sedang memantau pergerakan mata wang dengan saksama.”
Amaran itu mendorong pengukuhan kecil dalam yen, menunjukkan sejauh mana pasaran sensitif terhadap pontensi campur tangan.
Menteri tersebut memberi isyarat bahawa Jepun cuba mendapatkan persetujuan rakan-rakan utama Kumpulan Tujuh (G7) untuk mengambil tindakan jika diperlukan.
“Kami berkongsi pandangan dengan AS dan pihak berkuasa lain bahawa ketidakstabilan yang berlebihan adalah tidak diingini,” kata Suzuki.
Para penganalisis meragui Jepun dapat memperoleh persetujuan AS untuk campur tangan dengan menjual dolar demi yen kerana itu boleh memburukkan inflasi yang tinggi di AS.
Amaran dari Suzuki rentetan daripada perintah rasmi Perdana Menteri Fumio Kishida kepada kabinetnya untuk menyediakan pakej ekonomi baru yang bertujuan untuk mengurangkan bebenan kenaikan harga, termasuk makanan dan tenaga.