Keputusan dasar monetari semalam menyaksikan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75%.
MIDF Research berpandangan keputusan tersebut dibuat kerana BNM mahu mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk menilai prestasi pasaran selepas kadar dinaikkan 4 kali tahun lepas.
Ini kerana, tumpuan semasa penetapan dasar bank pusat adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal mampan.
Meskipun begitu, firma penyelidikan itu menjangkakan ia akan menaikkan OPR kembali ke paras pra-pandemik 3.00% pada separuh pertama tahun ini.
Hal ini susulan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang terus menunjukkan pengukuhan melebihi jangkaan.
Selain itu, MIDF Research juga melihat kemungkinan bahawa BNM akan menormalkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% tahun ini selepas ia diturunkan kepada 2% tiga tahun lalu.
Sungguhpun begitu, ia bergantung kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, inflasi dan kemajuan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik.
Berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pasaran mata wang? Jom sertai komuniti kami. Klik di sini untuk join.