Pembuka tirai dagangan untuk bulan Mac melihatkan raja mata wang US dolar kekal mengukuh setelah menyambung pengukuhan pada akhir sesi New York.
Bagaimanapun, data keyakinan pengguna Amerika Syarikat yang menyuramkan pada bulan Februari membataskan kenaikan mata wang gergasi itu lebih jauh.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan di atas paras harga 105.00 ketika sesi Asia dibuka hari ini.
Mata wang pound melonjak tinggi susulan berita mengenai Kesatuan Eropah (EU) dan UK telah mencapai perjanjian mengenai peraturan perdagangan di Ireland Utara yang dipanggil ‘Rangka Kerja Windsor’.
Pun begitu, mata wang itu kembali memadamkan keuntungan tersebut berikutan kebangkitan semula US dolar, membawanya didagangkan sekitar 1.203 pada sesi Asia.
Selain itu, euro juga kembali menyusut berikutan pengukuhan US dolar, di mana ia sebelum itu meningkat selepas melihat data inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di Sepanyol dan Perancis.
Sementara itu, mata wang yen merosot lebih jauh ke paras terendah sejak Disember, ketika calon gabenor Bank of Japan (BOJ), Kazuo Ueda masih mengelak untuk memberi ulasan mengenai hala tuju bank pusat akan datang.
Di samping itu, dolar Aussie tergelincir ke paras terendah terbaru 7 minggu selepas dikecewakan oleh bacaan data inflasi tahunan Australia yang lebih rendah daripada jangkaan.
Dolar loonie turut menyusut selepas data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kanada menunjukkan penguncupan pada bulan Disember dan tidak berubah pada suku keempat.
Nak belajar trade forex bersama Team INTRADAY? Jom sertai program mentoring Hustle 24 Hour kami. Klik di sini untuk join.