- Emas meningkat lebih 2% minggu lalu
- NFP kuat, tapi pertumbuhan upah merosot
- Jangkaan kenaikan kadar lebih kecil
Harga emas mengukuh pada Isnin ketika US dolar merosot rendah ekoran data NFP Amerika Syarikat menguatkan jangkaan kenaikan kadar lebih kecil dari Federal Reserve (Fed).
Pada sesi Asia, logam kuning itu didagangkan menguat di paras tertinggi 7 bulan pada $1,878 per auns. Niaga hadapan emas pula lebih tinggi pada $1,883 per auns.
Walaupun pertambahan pekerjaan yang dicatatkan dalam NFP lebih kuat daripada jangkaan, namun hakikatnya ia adalah kenaikan terkecil dalam tempoh 2 tahun.
Selain itu, pertumbuhan gaji tahunan dicatatkan lebih perlahan daripada jangkaan awal kepada kadar terendah sejak Ogos 2021.
Rentetan itu, pemain pasaran melihat laporan tersebut sebagai dovish untuk kenaikan kadar faedah lebih kecil dari Fed.
Turut menyokong pandangan itu adalah data PMI perkhidmatan ISM AS yang memaparkan penguncupan pada bulan Disember.
Susulan itu, US dolar dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun tergelincir rendah sekali gus memberi manfaat buat logam kuning emas untuk menguat.
Emas mengakhiri dagangan minggu lalu dengan peningkatan lebih 2%, menjadikannya kenaikan mingguan ketiga berturut-turut buat logam berharga itu.