“Adakah kejatuhan BTC adalah petanda untuk harganya naik lagi tinggi? Atau…”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) yang berjaya mencapai $44,452 malangnya kembali memaparkan penerjunan ke $40,241 pada 11 Disember 2023 apabila para pedagang makin panik disebabkan penjualan oleh whales.
Selain positions long mencairkan lebih $340 juta dalam masa beberapa minit sahaja, terdapat campur tangan oleh whales di mana rizab bursa Binance didapati mencatatkan penjualan 16,000 BTC bernilai lebih $671 juta.
Sejak Disember bermula, pedagang telah mengelak daripada mengambil risiko leverage tinggi dalam pasaran derivatif, jadi kejatuhan harga BTC semalam mungkin akan menambahkan lagi keraguan dan menghalang pedagang daripada membuat pertaruhan besar sehingga Januari 2024.
Pembetulan kecil baru-baru ini dalam pasaran kripto lebih luas adalah sebahagian daripada proses rasional pengambilan untung (profit-taking) susulan pedagang mungkin sudah mencapai sasaran harganya pada akhir tahun memandangkan BTC naik lebih 70% sejak Oktober 2023.
Rentetan itu, pedagang haruslah memberi perhatian pada terbitan data Indeks Harga Pengguna (CPI) dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan berlaku pada minggu ini kerana harga BTC mampu buat pembetulan selanjutnya atau retest sehingga $39,700.
Namun jika momentum kenaikannya cuba untuk mengambil semula kawalan dan pedagang beli BTC pada harga lebih rendah, maka aset digital tersebut boleh melihat pemulihan untuk capai semula paras $43,000 diikuti $44,000.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 3.66% pada paras $41,788 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $817 bilion tetapi tetap mencatatkan kenaikan 0.06% sepanjang minggu lepas.
Manakala Ethereum (ETH) turut menyusut sekitar 4.15% pada paras $2,234 dalam tempoh 24 jam terakhir dan Ripple (XRP) jatuh 4.61% pada $0.62.