Pasaran minyak mentah digegarkan oleh laporan bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempertimbangkan untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Ini susulan laporan Wall Street Journal yang memetik kenyataan pegawai Emirati bahawa UAE sedang bercadang untuk berundur dari OPEC.
Hal ini dikatakan berpunca daripada ketegangan yang meningkat antara Arab Saudi dan UAE yang berkelahi mengenai minyak dan perang Yaman.
Ekoran itu, harga minyak mentah jatuh mendadak sehingga lebih 2% disebabkan kebimbangan bahawa jika UAE keluar daripada kumpulan itu, ia akan melaksanakan rancangan pengeluaran minyak sendiri yang sesuai dengan kepentingannya.
Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Reuters kemudiannya melaporkan bahawa berita tersebut adalah tidak benar.
Rentetan itu, harga minyak kembali memadamkan kerugian tersebut untuk menutup dagangan akhir minggu lalu dengan lebih tinggi.
Pada sesi Eropah hari ini, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan mengukuh pada $85 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat menguat pada $89 setong.
Ini bukanlah kali pertama UAE dilaporkan mempertimbangkan untuk tinggalkan perikatan itu. Namun, isu ini kembali dibangkitkan apabila ketegangannya dengan Arab Saudi semakin meningkat.
UAE ialah ahli penting OPEC kerana merupakan pengeluar ketiga terbesar kumpulan itu selepas Arab Saudi dan Iraq dan ia dianggap sebagai salah satu daripada segelintir ahli yang memegang kapasiti pengeluaran yang tidak digunakan.
Nak tahu lebih mendalam mengenai pasaran mata wang? Jom join komuniti kami! Klik sini.