Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi mengecam tindakan Israel melakukan pembunuhan orang awam di Gaza.
Ia berikutan amaran oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengenai kehilangan sokongan antarabangsa susulan pengeboman ‘semberono’ itu.
Resolusi yang dibentangkan oleh Mesir itu mendapat 153 undi menyokong daripada 193 anggota yang berhimpun bagi sesi khas tergempar mengenai Palestin.
Namun, sepuluh negara termasuk AS, Israel dan Austria mengundi menentang resolusi itu. Manakala, 23 negara termasuk United Kingdom, Jerman, Itali dan Ukraine memilih untuk berkecuali.
Resolusi yang dibangkitkan itu bertujuan untuk memberi perlindungan kepada penduduk awam Palestin melalui undang-undang kemanusiaan antarabangsa sambil menuntut semua pihak untuk mematuhi kewajiban mereka terutama sekali mengenai perlindungan masyarakat.
Draf resolusi berkenaan juga menuntut ‘pembebasan segera dan tanpa syarat’ semua tebusan serta memastikan akses kemanusiaan.
Pada Oktober lalu, Perhimpunan Agong mengundi menyokong draf resolusi dengan menyeru gencatan senjata segera dan menghentikan permusuhan. Terdapat 121 negara menyokong, 14 negara menentang dan 44 berkecuali.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata serangan Israel ke atas Gaza untuk menumpaskan Hamas telah pun mengorbankan sekurang-kurangnya 18,205 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 50,000 lagi sejak 7 Oktober lalu.
Sementara itu, pegawai kanan kumpulan Islam Palestin, Izzat El-Reshiq dalam satu kenyataannya hari ini berkata Hamas turut mengalu-alukan tuntutan PBB bagi gencatan senjata segera kemanusiaan di Gaza dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus menekan Israel supaya mematuhi resolusi itu.