“Tapi SHIB sekarang macam mendatar je, boleh ke tidak harganya naik ni.”
Shiba Inu (SHIB) yang merupakan memecoin kedua terbesar selepas Dogecoin (DOGE) telah menarik perhatian para pelabur mata wang kripto apabila aktiviti pembakarannya menyaksikan pendakian besar, tetapi bukanlah untuk harganya.
Memang tidak dinafikan komuniti SHIB telah melakukan kemajuan luar biasa melalui pembakaran, tetapi harganya tetap mengalami kejatuhan tanpa menunjukkan tanda-tanda menaik.
Menurut data didedahkan Shibburn, kadar pembakaran SHIB dalam tempoh 24 jam lalu yang mempamerkan kenaikan lebih 10653.65% telah membakar 29.57 juta SHIB sementara jumlah bilangan keseluruhan token yang dibakar adalah 410.663 trilion.
Namun, transaksi yang mendapat perhatian dalam pasaran kripto telah membakar 261.40 juta SHIB kemudian memindahkan jumlah tersebut pada wallet yang sudah tidak aktif beberapa tahun manakala terdapat juga urus niaga pindahkan 21.52 juta SHIB ke dead wallet.
Sungguhpun kepercayaan umum mengatakan pembakaran token akan melonjakkan harganya, kes SHIB tampaknya berbeza susulan memecoin tersebut jatuh sejurus selepas dibakarkan sejak beberapa tahun lalu.
Kejatuhan harga SHIB juga berlaku biarpun terdapat pengumuman baru oleh komuniti yang mengatakan bahawa mereka akan berganding bahu bersama pasukan bola sepak Itali, Napoli untuk melaksanakan sebuah projek.
Meskipun begitu, kadar pembakaran melambung tinggi yang disaksikan baru-baru ini telah menyebabkan pemerhati pasaran kripto menjangkakan harga SHIB akan melonjak tinggi dalam masa terdekat ini.
Sehingga berita ini ditulis, harga SHIB menjunam sebanyak 4.45% pada paras $0.0000080 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $4 bilion seterusnya merekodkan penerjunan 2.91% sepanjang minggu lepas.