US dolar mengukuh di sekitar paras ketinggian tujuh minggu di tengah-tengah perkembangan optimis mengenai siling hutang Amerika Syarikat.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama, naik setinggi 103.11 sebelum sedikit susut pada sekitar harga 102.80.
Presiden Joe Biden dan anggota tertinggi Kongres AS, Kevin McCarthy masing-masing menyatakan keazaman mereka untuk mencapai perjanjian dalam isu siling hutang bagi mengelakkan ‘default’.
Selepas kebuntuan selama berbulan-bulan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan rundingan secara langsung.
Meneliti pergerakan mata wang utama, euro didagangkan berlegar pada sekitar paras terendah enam minggu berbanding greenback.
Dagangan pound pula kembali bangkit dari paras tiga minggu berbanding US dolar, membantunya memadamkan kerugian terdahulu dengan kenyataan Gabenor Bank of England Andrew Bailey yang hawkish.
Sementara itu, mata wang yen merosot ke paras terendah dua bulan berbanding US dolar, ditekan oleh hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang lebih tinggi.
Jepun melaporkan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama yang lebih baik daripada jangkaan, namun yen gagal memanfaatkannya.
Dalam pada itu, mata wang berkaitan komoditi, dolar Aussie kecundang rendah selepas terkesan oleh data pekerjaan Australia yang menyuramkan.
Selain itu, dolar New Zealand diniagakan mendatar, manakala dolar Kanada sedikit kukuh berbanding dolar greenback.