“Hmm agaknya bila nak naik sampai harga tu?”
Sejak awal tahun 2023, harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) akhirnya berjaya menyaksikan pendakian ketara setelah sekian lama mengalami penurunan secara berterusan pada 2022.
Sebagai rekod, BTC berada sekitar $15,000 pada November 2022 tetapi harganya melonjak dua kali ganda tembus $30,000 menjelang April 2023, bagaimanapun ia tidak bertahan lama susulan aset digital itu turun semula dalam beberapa minggu lalu.
Hal ini kerana sejak kebelakangan ini terdapat kebimbangan kawal selia di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sebab beberapa institusi kewangan mesra kripto seperti Signature Bank dan Silvergate Bank mengalami keruntuhan.
Menurut Nikolaos Panigirtzoglou, ahli strategi JPMorgan Chase & Co meramalkan harga BTC berpotensi melepasi paras $45,000 namun perlu diingat emas juga harus meningkat sekiranya ingin mendorong aset digital itu canak tinggi.
Pada masa ini, harga emas termasuk BTC jika dilihat dari masa ke masa sentiasa bergerak seiring susulan ia dianggap sebagai aset alternatif untuk para pelabur yang ingin mengembangkan portfolio kewangan masing-masing.
Ditambah pula dengan acara BTC halving pada April atau Mei 2024 yang berlaku setiap empat tahun, kebanyakan pelabur membuat spekulasi mengatakan bahawa kos pengeluaran BTC akan mencecah $40,000.
Suka dimaklumkan harga BTC sebelum ini turut menyaksikan kenaikan drastik semasa acara halving aset digital tersebut dilaksanakan pada tahun 2016 dan 2020, ulas Panigirtzoglou.