Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan rasmi daripada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Putrajaya bagi memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara tersebut.
Dalam ucapannya, PMX menzahirkan kepuasan hati akan ketulusan kerajaan Jepun mengenai isu pelepasan air sisa terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi pada 24 Ogos lalu yang dijamin tidak memberi impak besar pada kehidupan marin.
Namun, beliau turut menekankan kerajaan Jepun untuk terus mengambil serius berkaitan kebimbangan yang dibangkitkan oleh negara serantau disebabkan kesan rentas sempadan seperti tindakan tersebut.
Selain itu, Anwar juga turut memberi keyakinan untuk terus komited dalam membeli produk Jepun dalam pasaran negara ini.
Sejurus itu, beliau mengumumkan bahawa sidang kemuncak ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog Asean-Jepun akan diadakan pada pertengahan Disember di Tokyo.
Anwar juga menyatakan harapannya supaya perbincangan akan menyentuh isu bilateral antara Malaysia dan Jepun berkenaan pertahanan dan keselamatan, pendidikan dan transisi tenaga pada acara dialog itu nanti.
Ini merupakan kunjungan sulung Kishida ke Malaysia selama 2 hari menjelang sambutan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun tahun ini.