Emas terperosok ke paras terlemah hampir dua bulan selepas data ekonomi Amerika Syarikat yang kukuh menyokong US dolar untuk menolak logam kuning itu merosot lebih jauh.
Pada sesi Asia, spot emas didagangkan pada sekitar harga $1,946 per auns, sedikit meningkat dari paras terendah $1,936 yang disentuhnya pada awal sesi.
Bacaan kedua keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS tanpa dijangka menunjukkan pengembangan sebanyak 1.3% pada suku pertama, iaitu sedikit lebih tinggi daripada yang direkodkan dalam bacaan pertama 1.1%.
Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa pertumbuhan AS pada suku pertama tahun ini lebih berdaya tahan daripada yang dijangkakan.
Turut menambah tekanan buat harga emas adalah data tuntutan pengangguran yang menunjukkan pengukuhan berterusan dalam pasaran buruh di AS.
Susulan daripada data ekonomi tersebut, US dolar terus menguat seiring dengan lonjakan lebih tinggi dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun ke paras tertinggi baharu dua bulan pada 3.82%.
Pelabur kini memberi tumpuan kepada terbitan data perbelanjaan peribadi pengguna AS (PCE), ukuran inflasi yang menjadi pilihan Federal Reserve (Fed) untuk penetapan kadar faedah.