“Harapnya kripto akan naik la, kalau tak sampai bila nak mendatar je.”
Susulan Bitcoin (BTC) menyaksikan peningkatan ketara melepasi paras $30,000, seluruh pasaran kripto turut melonjak walaupun data Indeks Harga Pengguna (CPI) belum dikeluarkan lagi oleh Biro Statistik Buruh (BLS) Amerika Syarikat (AS).
Menerusi ramalan Wall Street, CPI pada asas bulanan dijangka 0.3% manakala CPI Teras 0.4% sementara inflasi tahunan mungkin meningkat sebanyak 5.2% tahun ke tahun dan bacaan teras pula 5.6%, iaitu lebih tinggi daripada bacaan awal 5.5%.
Dalam pada itu, Barclays, HSBC, Morgan Stanley, UBS, Wells fargo dan Goldman Sachs berpandangan CPI akan turun pada 5.1% sebaliknya JPMorgan, Citi serta CIBC jangkakan 5.2% manakala Bank of America termasuk Bank of Montreal pada 5.3% seterusnya Visa percaya ia berada pada 5.4%.
Sudah sedia maklum CPI adalah data penting untuk Federal Reserve (Fed) menentukan sama ada ingin mengetatkan dasar monetari ataupun tidak, di mana Fed sebelum ini kurangkan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kerana terdapat beberapa faktor yang menunjukkan inflasi AS semakin pulih.
Sekiranya terbitan CPI yang akan dikeluarkan hari ini menepati jangkaan 5.1% iaitu lebih rendah daripada sebelum ini di paras 6.0%, maka pasaran kripto berpotensi untuk melonjak lebih tinggi susulan dolar AS akan melemah berikutan Fed akan lebih beralih ke arah memperlahankan pengetatan monetari.
Sebaliknya, harga aset digital juga berupaya menjunam drastik sekiranya laporan data CPI didapati lebih tinggi daripada ramalannya ekoran Fed berkemungkinan akan bertindak menaikkan kadar faedah dan menjadi sebab dolar AS mengukuh.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 1.43% pada paras $30,271 dalam tempoh 24 jam lalu tatkala Ethereum (ETH) pula tergelincir 1.04% pada $1,895 dan Ripple (XRP) pula raih sekitar 0.18% pada $0.51.