“Memang Kiyosaki ni dari dulu suka bagi pendapatnya, tapi tak tahu la ramai yang terima ke tak.”
Sungguhpun ahli politik menafikannya, ramai ahli ekonomi tertanya-tanya sama ada kewangan global bakal mengalami kejatuhan secara besar-besaran berikutan perbincangan siling hutang Amerika Syarikat (AS) yang sehingga kini tidak membawa hasil.
Rentetan itu, pengarang buku terkenal “Rich Dad Poor Dad” Robert Kiyosaki yang tidak mempercayai kenyataan ahli politik telah menggesa para pelabur membeli Bitcoin (BTC), emas dan perak untuk melindungi diri mereka.
Kiyosaki turut berkata bahawa kemelesetan ekonomi terbesar dunia mungkin sudah terjadi susulan Republikan dan Demokrat masih tidak dapat memutuskan sama ada AS perlu menaikkan siling hutang ataupun tidak.
Oleh demikian, beliau yang sejak dahulu lagi mempunyai pandangan negatif terhadap ekonomi global semasa telah menegaskan AS akan mengalami default* buat kali pertama walaupun Presiden Joe Biden secara berterusan menyatakan peristiwa itu tidak akan berlaku.
*Kegagalan untuk membuat pembayaran balik faedah atau pokok yang diperlukan ke atas hutang
Selain mendedahkan rasuah di AS adalah sangat tinggi disebabkan pemimpinnya, Kiyosaki sungguh percaya ketiga-tiga aset yang disebutkannya tadi dapat melindungi seseorang individu itu daripada menerima tempias.
Bukan itu sahaja, Kiyosaki juga menentang Biden sekeras-kerasnya dengan mengatakan bahawa presiden AS sekarang adalah paling nyanyuk, korup dan tidak cekap dalam sejarah negara.
Pada sisi berbeza, beliau sebelum ini pernah meramalkan harga BTC bakal cecah $500,000 menjelang akhir tahun 2025 manakala emas dan perak masing-masing akan capai $5,000 dan $500 susulan Federal Reserve (Fed) mungkin perlu mencetak berbilion wang yang ‘tak wujud’.