Berdasarkan pergerakan pasaran semasa, mata wang Ringgit Malaysia (RM) diramal akan diniagakan tinggi pada minggu ini susulan impak positif daripada pakej rangsangan domestik terbaru China dan pendirian dasar oleh Federal Reserve (Fed) berkaitan kadar faedahnya baru-baru ini.
Langkah China itu selari dengan komitmennya bagi menyokong sektor hartanah dengan menyediakan rangsangan yang lebih kukuh kepada para pelabur.
Menurut rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata disebabkan China adalah destinasi eksport terbesar Malaysia, sebarang rangsangan kepada ekonomi domestiknya akan turut memberi kesan dalam aktiviti pengeksportan Malaysia.
Innes berkata, penerimaan pelabur serantau terhadap pakej rangsangan China itu akan membantu prestasi ringgit pada minggu ini.
Sementara itu, pasaran masih menghadam situasi Jawatankuasa Pasaran Terbuka AS (FOMC) yang memilih untuk mengekalkan kadar faedahnya pada 5.25% hingga 5.50% ketika mesyuaratnya yang bernada ‘dovish’ pada minggu lepas.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya ringgit mungkin berusaha untuk melepasi paras sokongan segera pada RM4.6611 minggu ini apabila Fed dijangka menurunkan kadar faedahnya tahun depan.
Beliau berkata, tumpuan utama sekarang adalah terhadap yen Jepun apabila tinjauan Reuters terhadap Bank of Japan (BOJ) dijangka tidak akan meneruskan dasar monetarinya yang longgar pada Januari tahun depan.
Mesyuarat dasar monetari BOJ pada esok (19 Disember 2023) akan dipantau dengan teliti kerana pasaran sedang mencari petunjuk mengenai kemungkinan negara itu akan mula keluar dari dasar longgar yang telah dikekalkan sekian lama.