Pagi tadi, mata wang Ringgit Malaysia (RM) dibuka rendah berbanding ditutup semalam pada paras 4.6229 disebabkan oleh berlakunya penurunan harga minyak mentah global dan kekurangan permintaan dalam pasaran walaupun mata wang dolar AS dalam fasa melemah.
Selain itu, pasaran kini juga berada dalam risiko kekal disebabkan jangkaan berlakunya penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve (The Fed) pada Mac tahun depan.
Tepat jam 10 pagi, ringgit alami kenaikan dan stabil pada sekitar RM4.63 berbanding dolar AS. Ia melawan arus pergerakan pada minggu lepas yang menunjukkan sentimen mengukuh.
Menurut Pengarah Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berkata jangkaan pemotongan kadar faedah akan terus meningkatkan nilai aset berisiko seperti indeks S&P 500 Amerika Syarikat semakin hampir dengan rekod tertingginya.
Kenaikan itu memupuk sentimen global yang positif dan menyumbang kepada pergerakan dolar AS untuk lebih lemah dalam kumpulan mata wang dunia.
Pada peringkat serantau pula, ringgit berada pada laluan yang positif disebabkan manfaat daripada langkah rangsangan dasar oleh kerajaan China pada Oktober lepas.
Menurutnya lagi, barangan dan semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan (AI) dijangka akan terus memacu eksport domestik yang kukuh pada tahun depan. Hasilnya, ringgit akan mendapat kelebihan kerana pendapatan eksport melalui pertukaran mata wang memainkan peranan penting dalam kredit mata wang tempatan itu.
Kita dapat lihat juga ringgit dibuka rendah berbanding beberapa mata wang utama dunia. Ia turun berbanding pound Britain kepada 5.8913 dan susut sedikit daripada euro kepada 5.1109.
Namun, ringgit juga didagangkan tinggi berbanding kebanyakan mata wang Asia lain seperti dolar Singapura kepada 3.4986, rupiah Indonesia kepada 299.0 dan peso Filipina kepada 8.35.