Hari ini, Ringgit Malaysia (RM) masih dibuka tinggi lagi berbanding dolar AS di saat pasaran berada pada situasi lebih berwaspada bagi memerhatikan perkembangan utama seperti data inflasi AS dan rombakan Kabinet Malaysia.
Pada jam 9 pagi tadi, ringgit mengukuh sedikit kepada 4.6750 berbanding dolar AS yang ditutup pada Isnin lalu pada 4.6805.
Menurut Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam berkata anggaran konsensus telah meletakkan bacaan utama indeks harga pengguna (CPI) AS bagi November 2023 pada 3.1% iaitu turun sedikit daripada 3.2% sebelumnya. Manakala, CPI teras berkemungkinan kekal pada 4.0%.
Dengan itu, Indeks Dolar AS (DXY) alami kenaikan 0.08% kepada 104.095 mata.
Katanya lagi, pasaran kini percaya bahawa kadar AS akan diturunkan pada tahun depan dan fokus utama akan lebih tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang.
Beliau juga berkata bahawa Federal Reserve (Fed) dalam pemerhatian untuk pemotongan sekitar 25 hingga 50 mata asas pada kadar faedah mereka tahun depan.
Buat masa sekarang, ringgit masih tersekat pada nilai merosot dan akan bangkit semula pada tahun depan selepas Fed laksanakan pemotongan kadar faedah yang besar.
Selain itu, rombakan Kabinet Malaysia dijangka akan dilakukan hari ini serta melibatkan pelantikan Menteri Kewangan II baru.
Sementara itu, ringgit kebanyakannya didagangkan tinggi berbanding mata wang utama termasuklah pound British dan euro namun lemah sedikit berbanding yen Jepun.
Ia juga turut kukuh berbanding mata wang Asean lain seperti peso Filipina, rupiah Indonesia dan dolar Singapura. Namun, ringgit lemah sedikit berbanding baht Thailand.