Pagi tadi, ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS kerana berlakunya kelemahan ketara berikutan lelongan bon 5-tahun AS yang sangat kukuh dan berlakunya penurunan yang ketara dalam indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras (Core PCE) Amerika Syarikat pada November.
Tepat jam 10 pagi tadi, ringgit berada pada paras RM4.6100 daripada ia ditutup semalam pada nilai sekitar RM4.6268 berbanding dolar AS.
Menurut Pengarah Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berkata bahawa lelongan bon AS yang kukuh membawa kepada penurunan dalam hasil Perbendaharaan 10 tahun AS jatuh di bawah 3.80%.
Katanya lagi, sentimen itu berfungsi sebagai penunjuk kepada para pelabur bagi menjangkakan pemotongan kadar faedah yang ketara oleh Federal Reserve (Fed) pada tahun akan datang. Perkembangan itu akan terus memberi kesan baik pada ringgit.
Innes juga berpandangan untuk mengekalkan jangkaannya bahawa kadar pertukaran USD/MYR akan didagangkan di bawah RM4.60 pada awal 2024 jika hasil Perbendaharaan AS terus menurun.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2589 daripada 3.2453 pada Rabu, susut berbanding euro kepada 5.1251 daripada 5.1152 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.9030 daripada 5.8862 semalam.
Walau bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding mata wang Asean lain.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4956 daripada 3.5001 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.28 daripada 8.31 pada Rabu.