Pengumuman mengejut Jabatan Imigresen telah mendorong beberapa saham syarikat tersenarai yang menyediakan perkhidmatan e-kerajaan dan teknologi maklumat merosot rendah.
Dalam pengumuman terbaharu pada hari Isnin, semua perkhidmatan atau proses berkaitan imigresen akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak Imigresen menjelang tahun 2025.
Ini bermaksud, urusan yang kini dikendalikan oleh pihak ketiga seperti MY EG Services Bhd (MyEG) akan dihentikan.
Impaknya, saham MyEG junam mendadak pada pembukaan dagangan Selasa sebanyak 31.41% kepada had bawah 65.5 sen sesaham sebelum mengurangkan kerugian pada 73 sen setakat tengah hari.
Beberapa saham lain turut menerima tempias, di mana DataSonic Group kehilangan 7% kepada 46 sen, manakala Dagang NeXchange Bhd susut 0.7% kepada 67 sen.
Ketua pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud memberitahu bahawa jabatan itu akan melancarkan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) dalam usaha meningkatkan kecekapan jabatan serta pengalaman pelanggan.
Dalam pada itu, Iris Corp Bhd akan bekerjasama dalam membangun, menyampaikan dan menyepadukan keseluruhan NIISe, di bawah kontrak RM1.12 bilion.
Saham Iris Corp melonjak 36% kepada 17 sen pada sesi dagangan hari ini.