- Keuntungan Samsung merosot 69% pada Q4 2022
- Keuntungan suku tahunan terlemah 8 tahun
- Krisis ekonomi global jejas permintaan
Samsung Electronics Co Ltd dijangka mencatat keuntungan suku tahunan terendah dalam 8 tahun kerana terkesan dengan ekonomi global yang lemah.
Syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu mengumumkan keuntungan operasi suku Oktober hingga Disember 2022 berkemungkinan junam 69% kepada $3.37 bilion daripada $10.9 bilion setahun lalu.
Angka tersebut menunjukkan keuntungan suku tahunan terkecil Samsung sejak suku ketiga 2014 dan jauh tersasar dari ramalan Refinitiv SmartEstimate untuk hasil $4.67 bilion.
Menurut penyata pendapatan yang dikeluarkan Samsung, ia meramalkan pendapatan suku tahunan susut 9% daripada tempoh sama tahun lalu kepada $55.4 bilion.
Pun begitu, syarikat terkemuka Korea Selatan itu akan mengeluarkan pendapatan terperinci pada 31 Januari.
Unjuran menyuramkan ini, juga secara tidak langsung memberi gambaran serupa untuk keputusan suku tahunan firma teknologi lain.
Kelemahan dalam ekonomi global akibat kenaikan kadar faedah dan kos sara hidup telah menjejaskan harga cip memori dan mengekang permintaan untuk peranti elektronik.
Rentetan itu juga, penganalisis mengunjurkan keuntungan Samsung turut merosot pada suku semasa (Januari-Mac 2023).
Pada sesi dagangan pagi Jumaat, saham Samsung meningkat 1% manakala saham pesaing pembuat cip memori SK Hyix melantun 1.6%.