“Alamak takutnya, adakah SEC akan lebih bertindak agresif lepas ni?”
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) masih belum selesai mengejar bursa mata wang kripto atau projek kewangan decentralized (DeFi) yang melanggar undang-undang sekuriti sama seperti Binance dan Coinbase.
Menurut David Hirsch, Ketua Aset Kripto dan Unit Siber SEC berkata pejabat penguatkuasaannya yang melakukan litigasi untuk SEC telah menyiasat firma lain yang terlibat dalam aktiviti sama, antaranya adalah pelanggaran pematuhan industri.
Tambah beliau lagi, SEC telah terlibat dalam beberapa kes kripto di mahkamah persekutuan, di mana baru-baru ini pengawal selia AS sedang berada dalam proses untuk merayu keputusan Ripple (XRP) yang memutuskan aset digital itu bukanlah sekuriti.
Meskipun begitu, SEC tetap akan terus aktif dalam mengambil sebarang tindakan agar broker, peniaga, bursa dan agensi sentiasa berada dalam bidang kuasanya sama ada dari segi pendaftaran ataupun pendedahan yang lengkap.
Bukan itu sahaja, Hirsch turut menyatakan bahawa penyiasatan bagi projek DeFi juga akan dijalankan dan labelnya bukanlah penghalang untuk SEC meneruskan tugasnya.
Sebelum ini, SEC sering kali mengambil pendekatan yang agak tenang, di mana ia sentiasa menyasarkan firma terkawal seperti Wall Street dan jabatan undang-undang yang pantas merundingkan penyelesaiannya.
Namun disebabkan pertuduhan terhadap bursa kripto telah mengancam kedudukannya sebagai pengawal selia AS, SEC lebih cenderung untuk membawa syarikat yang menawarkan perkhidmatan aset digital ke mahkamah.