Pos Malaysia Bhd berhasil mengurangkan kerugian bersihnya untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2022.
Meneliti pemfailan yang dikemukakan pada Isnin, ia berkata kerugian bersih untuk tahun penuh 2022 adalah sebanyak RM167.67 juta, turun 50% dari tahun sebelumnya RM335.43 juta.
Walaupun begitu, pendapatan tahun lepas kekal lebih rendah 19% berikutan kemerosotan perniagaan kurier akibat penurunan jumlah bungkusan keseluruhan terutamanya daripada pelanggan kontrak.
Pada asas suku tahunan pula, kerugian bersih dicatatkan menurun 20% dari tahun sebelumnya kepada RM98.42 juta pada suku keempat, dengan perolehan RM467.2 juta.
Ekoran daripada itu, saham Pos Malaysia didagangkan lebih rendah pada 58 sen dengan susut 2.5%, dengan nilai pasaran sebanyak RM450.23 juta (setakat 3.00 petang).
Susulan laporan yang mengecewakan itu juga, Kenanga Research menurunkan harga sasaran (TP) untuk saham Pos Malaysia sebanyak 6% kepada 46 sen berbanding 49 sen sebelum ini.