“Pening kepala, CZ atau Sun yang boleh dipercayai?”
Syarikat exchanger mata wang kripto Binance menolak tawaran pengasas blockchain Tron, Justin Sun yang berhasrat menjual saham Huobi kepada bursanya.
Hal ini kerana Huobi yang mempunyai hubungan dengan tanah besar China telah menjadi punca Binance bertindak berhati-hati dan enggan mempunyai sebarang kaitan dengan mereka walaupun ia hanyalah khabar angin semata-mata.
Semasa temu bual pada bulan lepas, Sun berkata bahawa Huobi berhasrat mendapatkan lesen di Hong Kong seterusnya melancarkan syarikat exchanger baharu di sana yang digelar Huobi Hong Kong, tetapi rancangannya mungkin tidak terjadi ekoran beliau ingin menjual sahamnya.
Terdahulu, syarikat About Capital dilaporkan membeli Huobi pada Oktober tahun lepas tetapi wakil Sun mengatakan beliau sama sekali tidak terlibat dengan syarikat tersebut, namun masih mengesahkan dirinya sendiri sebagai ketua syarikat pada Januari 2023.
Rentetan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Binance Changpeng Zhao (CZ) mengatakan bahawa beliau telah menolak tawaran Sun pada minggu lepas sambil menambah pengasas Tron itu memiliki pegangan majoriti dalam Huobi.
Meskipun begitu, Sun membalas dengan menyebut beliau tidak membuat perbincangan ataupun apa-apa tawaran berkenaan pembelian Huobi kepada CZ pada minggu lalu.
Susulan itu, Binance menyatakan pihaknya tidak mempunyai sebarang komen untuk dikongsi, di mana kebanyakan individu berpendapat syarikat tersebut bertindak sebegitu kerana tidak ingin memperbesarkan keadaan.
Selepas berita dikeluarkan, harga JUST (JST) terjun drastik hingga ke paras $0.0050 sebelum naik semula pada $0.027 manakala Tron (TRX) menjunam sekitar 0.22% pada $0.006618 dalam tempoh 24 jam lalu.