Sweden dan Finland masih lagi berdepan halangan daripada Turki untuk menyertai NATO setelah hampir setahun membuat permohonan.
Pun begitu, dalam perkembangan terbaharu Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mencadangkan bahawa beliau mungkin bersetuju dengan penyertaan Finland, tetapi bukan Sweden.
Hal ini disebabkan oleh keengganan Sweden untuk mengekstradisi berpuluh-puluh orang yang didakwa terikat dengan kumpulan militan Kurdish dan pengkritik lain kerajaannya.
Ujar Erdogan, Stockholm perlu mengembalikan pengganas ini kepadanya sekiranya benar-benar mahu menyertai NATO.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Ankara menangguhkan rundingan untuk menerima kedua-dua negara Nordik itu sebagai ahli.
Tindakan itu berlaku rentetan beberapa siri protes kontroversi di Stockholm, terutamanya isu pembakaran Al-Quran di luar kedutaan Turki yang membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Pegawai Sweden telah mengutuk protes itu, tetapi mempertahankan undang-undang kebebasan bersuara negaranya.
Umum mengetahui bahawa sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Sweden dan Finland telah memohon untuk menyertai NATO pada tahun lepas.
Permohonan tersebut perlu diluluskan sebulat suara oleh semua anggota semasa NATO, tetapi Turki dan Hungary setakat ini masih belum memberi pengesahan mereka mengenai penyertaan tersebut.