Indeks US30 diperdagangkan lebih rendah susulan bacaan data inflasi Amerika Syarikat yang bercampur-campur pada bulan Januari.
Kelemahan ini dipaparkan oleh penyusutan Dow Jones Industrial yang ditutup 0.46% lebih rendah pada 34,089.27 pada sesi New York.
Pasaran saham AS turut memberi tindak balas yang tidak menentu selepas data menunjukkan harga pengguna menurun lebih perlahan daripada dijangkakan.
Indeks harga pengguna (CPI) AS menunjukkan peningkatan 6.4% tahun ke tahun pada Januari daripada 6.5% bulan sebelumnya, tetapi meleset berbanding jangkaan untuk kenaikan 6.2%.
Walaupun menurun, tetapi pasaran melihat Federal Reserve (Fed) mungkin akan terus menaikkan kadar faedah atau membiarkannya kekal tinggi untuk beberapa waktu.
Kebimbangan ini menyebabkan pelabur gagal memanfaatkan berita positif oleh Boeing Co yang memeterai perjanjian dengan Air India untuk memberi 220 pesawat penumpangnya. Saham Boeing melonjak 1.3% ke paras tertinggi lebih setahun.
Coca-Cola Co pula susut 1.7% walaupun unjuran keuntungan tahunan penuhnya pada 2022 lebih kukuh daripada jangkaan.
Sementara itu dalam perdagangan lanjutan, Airbnb dan TripAdvisor kedua-duanya melonjak 10% berikutan pendapatan suku tahunan yang lebih baik daripada dijangkakan.
Ekoran itu, ia memberi manfaat untuk Nasdaq berakhir dengan lebih positif pada 11,960.15, manakala S&P 500 pula kehilangan 0.03% untuk menamatkan sesi pada 4,163.13.