Saham Amerika Syarikat ditutup sedikit berubah selepas mencatat penyusutan besar pada awal sesi dagangan sebagai tindak balas kepada data pekerjaan NFP pada Jumaat lalu.
Para pelabur kini bersedia untuk satu lagi minggu yang sibuk dengan penerbitan data-data penting dan laporan pendapatan bank.
Dow Jones Industrial ditutup positif dengan kenaikan 0.3% kepada 33,586.63, manakala S&P 500 pula sedikit meningkat kepada 4,109.12 dan Nasdaq suram pada 13,051.23.
Indeks US30 pula lebih kukuh pada sekitar paras 33,620 ketika sesi dagangan Asia.
Laporan NFP menunjukkan pasaran buruh di AS kekal kukuh walaupun pertambahan pekerjaan dilihat terus perlahan pada bulan Mac.
Data inflasi dan laporan minit mesyuarat FOMC yang akan dikeluarkan pada minggu ini bakal menjadi tumpuan pelabur seterusnya.
Sementara pada hari Jumaat pula, beberapa bank besar termasuk Wells Fargo akan mengeluarkan laporan pendapatan untuk suku pertama.
Antara saham yang mempamerkan prestasi kukuh pada awal minggu adalah ekuiti pembuat cip seperti Micron Technology yang melonjak 8% selepas Samsung mengumumkan ia akan mengurangkan pengeluaran.
Selain itu, saham teknologi pula gagal menunjukkan prestasi yang baik, dengan Apple dan Alphabet (Google) masing-masing jatuh 1.6% dan 1.83%.