“Ramalan Kiyosaki sama dengan Standard Chartered, adakah kali ini ia akan jadi kenyataan?”
Pengarang buku “Rich Dad Poor Dad”, Robert Kiyosaki yang menasihati para pelabur untuk beri tumpuan pada logam berharga emas dan Bitcoin (BTC), telah meramalkan mata wang kripto tersebut bakal cecah $120,000 pada tahun 2024.
Umum mengetahui ramalan Kiyosaki tersebut adalah sama seperti institusi perbankan terkemuka Britain Standard Chartered yang turut berpandangan harga BTC dapat capai paras itu pada tahun 2024.
Dilaporkan bahawa BRICS yang berhasrat mencipta mata wang baharu pada Ogos tahun ini mungkin akan memperkenalkan kripto disokong emas, di mana ia boleh membahayakan dolar Amerika Syarikat (AS), ulas Kiyosaki.
Rentetan itu, beliau menggesa masyarakat untuk melabur dalam emas, perak termasuk BTC sebagai langkah perlindungan pada masa hadapan.
Selain pernah meramalkan kejatuhan ekonomi 2008, Kiyosaki juga sungguh percaya BTC adalah salah satu aset pelaburan yang sangat bermanfaat semasa tercetusnya peristiwa kejatuhan kewangan ataupun inflasi.
Hal ini kerana Federal Reserve (Fed) yang pernah mencetak dolar AS secara besar-besaran ketika pandemik COVID-19 telah menyebabkan logam berharga dan BTC melonjak tinggi, oleh itu ramai menggelar aset digital itu sebagai pelaburan terbaik.
Pada Februari 2023, Kiyosaki bukan sahaja mengkritik dolar AS dengan mentakrifkannya sebagai wang palsu malah yakin masyarakat akan lebih berminat melabur dalam BTC, emas dan perak jika mata wang rizab dunia terjejas.
Jadi di sini dapat dilihat bahawa Kiyosaki sangat percaya BTC akan capai $500,000 menjelang 2025 manakala emas dan perak pula masing-masing mampu cecah $5,000 serta $500.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.21% pada paras $30,547 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $593 bilion tetapi tetap mencatatkan penurunan 0.92% sepanjang minggu lepas.