Tiada perubahan pada sentimen pasaran semasa untuk minggu terakhir 2023 ini bagi penutup dagangan bulan Disember.
Dijangka untuk pergerakan perlahan harga, sebaliknya US dolar pamerkan penyusutan lebih parah pada dagangan Rabu semalam membuka lebih besar ruang untuk mata wang utama lain dalam pasaran mengukuh.
Masih tidak berubah jangkaan terhadap langkah yang akan diambil oleh Federal Reserve (Fed) untuk dasar monetari tahun hadapan di mana pemotongan kadar faedah berkemungkinan akan berlaku seawal Mac.
Penggubal dasar mengunjurkan 75 mata asas penurunan pada kadar faedah untuk tahun 2024.
Indeks dolar DXY sambung kejatuhan lebih rendah di bawah paras 101.00 mata manakala hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) menjunam lagi ke paras terendah baru lagi sejak Julai sekitar 3.80%.
Susulan penyusutan berterusan nilai US dolar, mata wang Eropah, Euro dan Pound pamerkan lonjakan kukuh masing-masing ke paras ketinggian terbaru 5 bulan dan 4 bulan.
Sementara mata wang Asia, dolar Aussie dan New Zealand papar kenaikan sederhana, namun tetap berjaya catatkan ketinggian terbaru lagi minggu ini, tertinggi sejak dagangan Julai.
Mata wang Yen kembali kukuh berbanding US dolar semalam setelah pergerakan pada carta harga pasangan USD/JPY mendatar pada Selasa.
Bakal menyokong pergerakan Yen di sesi Asia pagi ini (Khamis) apabila data pengeluaran industri dan jualan runcit di Jepun catat bacaan angka yang baik berbanding ramalan.
Dolar Kanada dilihat bergerak mendatar semalam, tidak meneruskan corak pengukuhan ke atas US dolar yang berterusan sejak 2 minggu berturut-turut dengan harga kini berlegar di sekitar $1.3200.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak sedikit menurun semalam menyusuli kenaikan harga pada hari sebelumnya.
Dagangan emas pula cemerlang dengan peningkatan nilai ke paras ketinggian terbaru melepasi paras harga jangkaan penganalisis iaitu pada $2,080.