US dolar kekal mempertahankan momentum pengukuhan ketika pelabur terus berpegang pada jangkaan untuk kenaikan 50 mata asas oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat polisi akan datang.
Ketika sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama mengukuh pada 105.66, paras tertinggi 3 bulan.
Pada hari kedua pembentangan, Pengerusi Fed Jerome Powell tidak menawarkan apa-apa kejutan memandangkan kenyataannya lebih kurang sama dengan apa yang diperkatakan pada Selasa.
Beliau menegaskan semula kenyataannya mengenai kenaikan kadar lebih tinggi, tetapi menekankan perbincangan masih dijalankan dengan keputusan bergantung pada data yang akan dikeluarkan sebelum mesyuarat bank pusat dua minggu lagi.
Sementara itu, data ADP sektor swasta Amerika Syarikat tanpa dijangka meningkat lebih kukuh daripada jangkaan dengan pertambahan 242,000 pekerjaan pada Februari daripada unjuran kenaikan 200,000.
Ini secara tidak langsung memberi petunjuk untuk laporan pekerjaan NFP yang akan dikeluarkan Jumaat nanti, mungkin lebih baik daripada jangkaan.
Menjengah ke situasi pasaran, mata wang euro dan pound kekal melemah di mana masing-masing diperdagangkan pada paras terendah 2 bulan dan 4 bulan.
Selain itu, dolar Aussie dan New Zealand juga terus didagangkan suram di paras terlemah 4 bulan selepas data inflasi tahunan China menunjukkan bacaan lebih rendah daripada jangkaan pada bulan Februari.
Dolar Kanada pula tergelincir lebih jauh ke paras terendah 5 bulan selepas Bank of Canada (BOC) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah.
Yen pula berhasil memadamkan sedikit kerugian tetapi kekal didagangkan di paras terendah 3 bulan berbanding greenback ketika tumpuan pelabur terarah kepada mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) pada Jumaat.
Berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pasaran mata wang? Jom sertai komuniti kami. Klik di sini untuk join.