US dolar didagangkan stabil pada sesi Eropah ketika pelabur kini mengalihkan tumpuan kepada terbitan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat.
Terdahulu, mata wang gergasi itu meraih pengukuhan susulan laporan minit mesyuarat FOMC yang menunjukkan Federal Reserve (Fed) akan meneruskan kenaikan kadar faedahnya.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar diperdagangkan sedikit berubah sekitar harga 104.45 pada awal sesi Eropah.
Menuju dagangan sesi New York, pelabur akan diperlihatkan dengan bacaan kedua KDNK AS untuk suku keempat 2022 yang dijangka berkembang 2.9%, sama seperti yang diramalkan dalam bacaan pertama sebelum ini.
Meneliti pergerakan mata wang lebih meluas, euro kekal didagangkan lemah pada paras terendah 6 minggu susulan penyusutan yang dicatatkan selepas minit FOMC dikeluarkan.
Dagangan pound pula sedikit susut, masih mempertahankan kedudukannya di atas paras harga 1.2000 berbanding greenback.
Beralih ke mata wang berkaitan komoditi, dolar Aussie dan New Zealand diniagakan mendatar selepas tidak banyak mempamerkan perubahan susulan minit mesyuarat Fed.
Dolar New Zealand mengekalkan sokongan yang diraih daripada keputusan bank pusat sebelum ini untuk menaikkan kadar sebanyak 50 mata asas dan memberi isyarat untuk mengetatkan lagi.
Sementara itu, dolar Kanada juga kekal diperdagangkan lebih rendah selepas terkesan oleh penurunan dalam inflasi Kanada yang berterusan pada bulan Januari, memberi sebab untuk bank pusat memperlahankan pengetatannya.