Menjadi tumpuan pada sesi Eropah hari ini adalah mata wang yen, menjelang ucapan pertama gabenor baharu Bank of Japan (BOJ) Kazuo Ueda pada jam 6.15 petang ini.
Walaupun tiada apa yang diharapkan daripada kenyataan Ueda, namun sebarang petunjuk mengenai dasar monetari boleh menjadi penggerak kepada mata wang yen.
Pada awal sesi Eropah, mata wang ninja itu menghapuskan sedikit kerugian berbanding US dolar yang dicatatkan pada sesi terdahulu.
Dolar greenback tampaknya kehilangan momentum untuk meneruskan pengukuhan, dengan indeks dolar didagangkan susut pada sekitar harga 102.05 berbanding sekumpulan mata wang utama.
Terdahulu, laporan NFP Amerika Syarikat menunjukkan pertambahan sebanyak 236,000 pekerjaan pada bulan Mac dan kadar pengangguran pula turun kepada 3.5%.
Ekoran data tersebut, penanda aras hasil bon AS 10 tahun berhasil mencatat pemulihan untuk bangkit semula ke tahap 3.4% sebelum susut sedikit pada dagangan hari ini.
Sementara itu, mata wang euro dan pound kekal berlegar pada sekitar harga yang sama walaupun berlaku turun naik pada dagangan awal sesi.
Dolar Aussie dan New Zealand pula kembali meningkat untuk memadamkan beberapa kerugian, tetapi dolar kiwi masih didagangkan lebih rendah berbanding US dolar.
Pasaran sesi New York dijangka akan menawarkan arah tuju yang lebih jelas buat US dolar dan mata wang secara keseluruhan.