US dolar didagangkan sedikit berubah pada sesi Asia selepas berundur dari puncak tertinggi 7 minggunya, sekali gus memberi peluang buat mata wang utama lain meningkat.
Ini susulan angka bercampur-campur dalam data pesanan barangan tahan lama Amerika Syarikat yang mencatat penyusutan 4.5% pada bulan Januari daripada peningkatan 5.1% sebelumnya.
Sedikit info, data tersebut merupakan indikator utama kepada pengeluaran, yang bermaksud jika berlaku penurunan dalam pesanan ia memberi isyarat bahawa pengilang akan mengurangkan aktiviti mereka.
Pada masa yang sama, kemerosotan dalam US dolar mungkin disebabkan oleh pengambilan untung oleh pasaran menjelang penutupan dagangan Februari setelah ia meningkat hampir 3% bulan ini.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar diniagakan mendatar pada sekitar harga 104.65 pada sesi Asia.
Mencuri tumpuan pasaran adalah mata wang pound yang menokok lebih tinggi selepas disokong oleh perkembangan positif dalam perjanjian dagang pasca-Brexit antara UK dan Kesatuan Eropah (EU).
Terbaharu, UK dan EU dilaporkan bersetuju untuk meminda protokol Ireland Utara yang telah sekian lama menjadi pertikaian kedua-dua pihak itu.
Walaupun perjanjian masih perlu diluluskan tetapi berita ini membantu mengangkat mata wang pound untuk meningkat selain turut disokong oleh penyusutan USD.
Sementara itu, euro turut meningkat, membantunya bangkit dari paras terendah 7 minggu yang disentuh pada sesi dagangan Isnin.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand gagal memaparkan kenaikan lebih kuat, sebaliknya didagangkan hampir tidak berubah berbanding greenback di tengah-tengah ketiadaan data utama untuk merangsang kedua-dua mata wang itu.
Yen pula kekal melemah di paras terendah 2 bulan berbanding USD, ditekan oleh ketidaktentuan tentang pendirian calon gabenor Bank of Japan (BOJ) dalam dasar monetarinya.
Nak belajar trade forex bersama Team INTRADAY? Jom sertai program mentoring Hustle 24 Hour kami. Klik di sini untuk join.