Pelabur terus melepaskan pegangan terhadap US dolar pada sesi Eropah, menyaksikan raja mata wang itu kecundang lebih rendah berbanding pesaing utamanya.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam mata wang utama didagangkan susut pada 100.60.
Federal Reserve (Fed) telah menaikkan kadar faedahnya ke paras tertinggi 22 tahun pada julat 5.25%-5.50% dan meninggalkan ‘pintu’ terbuka untuk kenaikan akan datang.
Namun, berbeza pula dengan reaksi pasaran yang melihat bahawa bank pusat itu sudah menghampiri penghujung kitaran pengetatan.
Data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat pada malam ini bakal dijadikan tumpuan oleh pasaran yang menjangkakan ekonomi berkembang sebanyak 1.8% pada suku kedua susulan pertumbuhan 2% pada suku pertama.
Menuju sesi New York, tumpuan pelabur turut disasarkan kepada mesyuarat dasar Bank Pusat Eropah (ECB) dan ucapan susulan daripada Presiden Christine Lagarde.
Sesi Eropah memperlihatkan mata wang euro melonjak tinggi pada sekitar harga 1.1136 menjelang mesyuarat itu, disokong oleh dagangan dolar greenback yang lebih lemah.
Dalam pada itu, pound turut melanjutkan pengukuhan menghampiri paras harga 1.3000 berbanding greenback.
Sementara mata wang berkaitan komoditi, dolar Aussie,New Zealand dan Kanada pula terus mempertahankan keuntungan berbanding US dolar walaupun sedikit susut pada awalnya.
Yen pula kekal bergerak stabil dengan harga diniagakan di bawah paras 140.00 menjelang keputusan Bank of Japan (BOJ) pada hari Jumaat.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.