Melangkah masuk ke sesi Eropah, dagangan US dolar kekal melemah di sekitar paras terendah 7 bulan berbanding pesaing utamanya dengan pelabur kini menantikan ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell.
Selain Powell, Gabenor Bank of Japan (BOJ) Haruhiko Kuroda dan Gabenor Bank of Canada (BOC) Tiff Macklem juga akan berucap pada persidangan bank pusat di Stockholm pada sesi New York.
Pelabur akan memerhatikan kenyataan Powell yang akan menawarkan sebarang petunjuk mengenai hala tuju penetapan dasar Fed yang selanjutnya.
Buat masa ini, pasaran melihat kebarangkalian bahawa bank pusat itu akan melaksanakan kenaikan 25 mata asas dalam kadar faedahnya pada Februari.
Namun begitu, pelabur kekal berhati-hati terhadap apa-apa kemungkinan yang bakal keluar dari ‘mulut’ Powell mengenai kadar faedah.
Melihat perkembangan pasaran secara meluas, mata wang berisiko masih mendapat sokongan untuk menguat di paras tertinggi dari kelemahan US dolar dan sentimen positif China.
Euro dan pound bergerak mendatar pada sesi Eropah dengan masing-masing didagangkan pada paras terkuat 7 bulan dan 3 minggu.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand masih mengekalkan keuntungan yang diraih sebelum ini walaupun sedikit merosot pada sesi dagangan semasa.
Mata wang yen dan dolar Kanada turut diniagakan mendatar di tengah-tengah kewaspadaan pelabur menjelang ucapan Gabenor BOJ dan BOC pada sesi akan datang.