Pada Isnin lepas, firma gergasi WeWork dilaporkan telah memfailkan notis perlindungan kebankrapan Bab 11 di Mahkamah Persekutuan New Jersey untuk perniagaan mereka di Amerika Syarikat dan Kanada.
Syarikat penyedia ruangan kerja ini didedahkan sedang menanggung liabiliti antara $10 billion hingga $40 billion.
Melalui kenyataan rasmi David Tolley, CEO WeWork berkata bahawa mereka masih komited dalam pelaburan produk, perkhidmatan dan kepada kakitangan dengan penstrukturan semula akan dilakukan bersama dengan proses rasionalisasi portfolio yang disewa.
WeWork, sebuah syarikat menyewa ruangan kerja yang pernah bernilai $47 billion pada tahun 2019 dan menerima pelaburan besar daripada Softbank ini mengalami kejatuhan korporat yang ketara baru-baru ini.
Hal ini disebabkan pengurusan yang lemah, isu pandemik dan kurangnya permintaan untuk ruang kerja fizikal menyebabkan pengoperasian syarikat terjejas.
Bukan itu sahaja, saham syarikat menjunam sehingga 10 sen sahaja dan didagangkan dalam anggaran 83 sen sebelum saham itu dihentikan pada Isnin lalu.