Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
RABU (9 Oktober 2024)
Mesyuarat Polisi RBNZ (9.00 Pagi) – Selepas memulakan pelonggaran dasar pada mesyuarat sebelum ini, Reserve Bank of New Zealand dijangka akan meneruskan langkah pemotongan kadar faedahnya minggu ini. Selepas pemotongan sebanyak 25 mata asas kadar faedah pada Ogos lalu, bank pusat itu dijangka akan menurunkan lagi kadar faedah sebanyak 50 mata asas ke paras 4.75% untuk mesyuarat Oktober.
KHAMIS (10 Oktober 2024)
Minit Mesyuarat FOMC (2.00 Pagi) – Bakal mempengaruhi dagangan US dolar menuju penghujung minggu, pelabur akan meneliti butiran lebih lengkap pada minit yang akan diterbitkan untuk mesyuarat September lalu susulan pemotongan agresif 50 mata asas kadar faedah oleh Federal Reserve.
Data Inflasi Pengguna AS (8.30 Malam) – Penurunan angka inflasi tahunan AS yang menghampiri paras sasaran bank pusat akan menguatkan lagi jangkaan untuk Federal Reserve meneruskan langkah pemotongan kadar faedahnya. Dari paras inflasi semasa pada 2.5%, pasaran menjangkakan inflasi terbaru menurun kepada 2.3% untuk bacaan September.
JUMAAT (11 Oktober 2024)
Data KDNK UK (2.00 Petang) – Pertumbuhan bulanan ekonomi UK diramalkan meningkat kepada 0.2% untuk bulan Ogos yang lalu. Bacaan yang lebih baik berbanding angka sifar pada bacaan sebelumnya itu, boleh menyokong peningkatan nilai Pound dalam pasaran.
Data Pekerjaan Kanada (8.30 Malam) – Kanada diramalkan mencatat pertambahan pekerjaan sebanyak 33,100 pada September, meningkat berbanding bulan sebelumnya. Namun, kadar pengangguran Kanada dijangka berisiko untuk meningkat kepada 6.7% daripada 6.6% sebelum ini.
Data Inflasi Pengeluar AS (8.30 Malam) – Selain inflasi pengguna, pasaran juga akan turut meneliti bacaan bagi indeks harga pengeluar AS dengan ramalan angka yang dicatatkan untuk bulan September turut menurun.