Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
ISNIN (8 Januari 2024):
Data Inflasi Switzerland (3.30 Petang) – Kadar inflasi di Switzerland pada Disember tahun lepas dijangka catatkan penguncupan 0.1%. Namun ramalan tersebut adalah sedikit baik berbanding bulan sebelumnya pada bacaan inflasi bulanan -0.2%. Data yang diterbitkan bakal mempengaruhi pergerakan mata wang CHF di awal minggu ini.
RABU (10 Januari 2024):
Data Inflasi Australia (8.30 Pagi) – Selepas bacaan indeks harga pengguna di Australia diperhatikan meningkat sehingga Oktober, angka terbaru untuk bulan Disember tahun lalu dijangka semakin menurun semula menyusuli penurunan pada bacaan November. Ini akan menjadi indikasi penting kepada pasaran terhadap penetapan dasar monetari bank pusat Australia.
KHAMIS (11 Januari 2024):
Data Inflasi AS (9.30 Malam) – Bakal menjadi data tumpuan utama minggu ini, bacaan inflasi terbaru di Amerika akan menjadi petunjuk awal untuk arah pergerakan pasaran untuk dagangan permulaan tahun 2024 selepas data pekerjaan NFP diteliti pada penghujung minggu lalu.
JUMAAT (12 Januari 2024):
Data Inflasi China (9.30 Pagi) – Indeks harga pengguna di China akan turut mencuri tumpuan pada dagangan penutup minggu ini susulan perubahan pada ekonomi kedua terbesar dunia ini boleh memberi impak kepada keseluruhan pasaran global.
Data KDNK UK (3.00 Petang) – Data pertumbuhan ekonomi UK diramalkan catat pemulihan positif untuk bacaan bagi November 2023 selepas angka yang mengecewakan pada bulan sebelumnya.
Data PPI AS (9.30 Malam) – Menyusuli data inflasi pengguna Amerika yang diterbitkan, bacaan inflasi pengeluar akan menutup tirai dagangan minggu ini. Ramalan untuk angka yang meningkat bagi bulan Disember 2023 boleh menyokong pemulihan pada pergerakan mata wang US dolar.