Data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) untuk bulan Ogos yang diterbitkan di sesi New York semalam menunjukkan angka yang positif mengatasi jangkaan pasaran namun tidak melepasi angka pada sebelumnya.
Data tersebut yang menyokong pengukuhan semula US dolar turut memberi kesan kepada pasaran emas menyaksikan logam berharga tersebut melemah, namun situasi tersebut tidak kekal lama.
Kini pelabur menantikan keputusan mesyuarat kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang bakal mempengaruhi pergerakan harga emas untuk jangka masa yang panjang.
Pemotongan sebanyak 50 mata asas masih menjadi taruhan para pelabur dengan peratusan sebanyak 61% berbanding 25 mata asas.
Pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, pada Selasa harga telah melemah dengan membuat penurunan ke paras 2560.00 namun melantun perlahan di penghujung sesi New York.
Pergerakan harga yang berada di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta tersebut memberi isyarat bearish buat dagangan emas.
Sekiranya harga melanjutkan penurunan lebih rendah selepas ini, pelabur akan menjangkakan harga untuk membuat tindak balas pada paras 2530.00 yang dilihat sebagai zon RBS (resistance become support).
Jika harga tembus lebih rendah ke bawah, paras 2500.00 menjadi titik penting sebelum tumpuan seterusnya kepada zon 2470.00 yang dijangka akan mengundang reaksi menarik harga.
Sementara, untuk jangkaan bagi harga membuat kenaikan pula, paras 2590.00 perlu dilepasi dahulu sebelum harga mencipta sejarah dengan paras tertinggi terbaru.
Sasaran terhampir adalah pada 2600.00 yang dijangkakan penganalisis buat ketika ini.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.