Situasi genting menyelubungi konflik dalaman Bangladesh apabila beribu-ribu pelajar berdemonstrasi sejak 1 Julai selepas pihak mahkamah mengembalikan kuota pekerjaan kerajaan yang telah dimansuhkan pada 2018.
Sistem itu menetapkan 56% daripada jawatan sektor awam diperuntukkan kepada demografi dan kelas tertentu termasuk 30% bagi anggota keluarga para pejuang kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971.
Laporan tersebut mencetuskan kemarahan dalam kalangan para pelajar yang menghadapi isu pengangguran dengan hampir 32 juta anak muda Bangladesh sukar untuk mendapat kerja atau sambung belajar.
Sekurang-kurangnya 33 mangsa lagi terbunuh pada Khamis di Bangladesh apabila polis melepaskan tembakan ke arah pelajar yang memprotes reformasi kuota kerja sektor awam di Dhaka dan beberapa lokasi lain di negara tersebut.
Menurut laporan Agensi Anadolu, sebanyak 17 daripada mereka yang bawah umur terbunuh apabila polis dan anggota sayap pelajar parti pemerintah iaitu Liga Awami menyerang penunjuk perasaan.
Media Prothom Alo pula melaporkan sekurang-kurangnya 16 kematian baharu dicatatkan di Dhaka, dua di Daerah Narsingdi, dua di bandar pelabuhan Chattogram dan satu di Daerah Madaripur.
Seorang lagi mangsa terbunuh selepas terperangkap dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis awal pagi di kawasan Jatrabari, Dhaka dan dua lagi terbunuh di bandar Dhaka termasuk seorang wartawan.
Jumlah kematian telah meningkat kepada 26 sejak tunjuk perasaan bertukar ganas pada Selasa lalu.
Televisyen Bangladesh (BTV) yang dikendalikan kerajaan melaporkan bahawa bangunannya dibakar lewat Khamis.