Seperti yang telah diketahui, Federal Reserve (Fed) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas untuk mesyuarat FOMC terakhir 2024, seperti yang telah dijangkakan majoriti pasaran.
Namun, kenyataan bernada hawkish disampaikan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell untuk memperlahankan langkah dalam pelonggaran dasar monetari mereka, mencetuskan lonjakan kukuh buat mata wang US dolar.
Situasi ini dijangka berterusan di mana US dolar berkemungkinan mengekalkan momentum positif itu sehingga ke penutup minggu ini.
Meneliti pergerakan pada carta harga pasangan mata wang EUR/USD, harga dilihat telah keluar dari zon mendatar beberapa hari di sekitar 1.05000.
Susulan reaksi mesyuarat FOMC awal pagi tadi, harga menjunam sekitar 140 pips menembusi paras 1.04000 sehingga mencecah sekitar 1.03500, merekodkan paras terendah baharu 4 minggu.
Lantunan perlahan harga diperhatikan pada pembukaan sesi Asia pagi ini (Khamis) yang dilihat menuju semula 1.04000.
Dengan terjunan sebelumnya, harga dilihat cenderung untuk menyambung penurunan lanjut pada sesi-sesi selepas ini.
Sasaran terhampir adalah untuk mencecah sekitar 1.03000 sekaligus mencatatkan paras terendah terbaru harga bagi dagangan tahun 2024 ini mengatasi paras pada November lalu.
Namun jika berlaku kenaikan yang melepasi paras 1.04000, harga akan cuba mendaki semula menuju zon tumpuan sebelum ini pada 1.05000.
Pelabur akan memerhatikan data pertumbuhan ekonomi suku ketiga Amerika Syarikat bagi bacaan terakhir diterbitkan di sesi New York malam ini yang boleh memacu pergerakan harga selanjutnya.
Lihat gambar carta harga pasangan EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.