Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi pada Khamis lebih tinggi sedikit berikutan minat belian baharu dalam saham wajaran tinggi terpilih dan membalikkan beberapa kerugian sebelumnya.
Pada jam 12.30 tengah hari tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memperoleh 0.87 mata kepada 1,539 daripada 1,538.13 mata pada penutupnya.
Indeks penanda aras yang dibuka 2.53 mata lebih lemah pada 1,535.6 dan kini bergerak antara 1,533.8 hingga 1,539 semasa sesi.
Walau bagaimanapun, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 429 berbanding 408. Manakala, 503 kaunter tidak berubah, 974 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah berjumlah 2.75 billion unit yang bernilai RM1.25 billion.
Menurut Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata indeks penanda aras tempatan dijangka berlegar-legar dalam julat 1,540 hingga 1,550 pada hari ini (Khamis).
Katanya lagi, FBM KLCI mengalami peralihan kerana ditutup di bawah 1,540 pada hari Rabu selepas pelarasan untuk dividen dalam kalangan beberapa saham wajaran tinggi. Mereka percaya pengumpulan saham akan kembali dan dijangkakan indeks akan meneruskan perarakannya ke paras 1,600.
Selain itu, kaunter perladangan terus menarik minat positif selepas harga minyak mentah (MSM) mencatatkan paras tertinggi 52 minggu pada RM4,200 satu tan disebabkan inventori yang lebih rendah.
Sementara itu, saham wajaran tinggi seperti Maybank Bhd turun lima sen kepada RM9.57, Public Bank Bhd susut satu sen kepada RM4.21, CIMB Group Holdings Bhd dan Tenaga Nasional Bhd tidak berubah dengan masing-masing pada RM6.70 dan RM11.54. Manakala, Petronas Chemicals Group Bhd naik tiga sen kepada RM6.84.
Bagi kaunter aktif, Hong Seng Consolidated Bhd dan TWL Holdings Bhd tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen dan 3.5 sen, Eversendai Corp Bhd naik setengah sen kepada 39.5 sen manakala Fitter Diversified Bhd susut setengah sen kepada lima sen.