Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu ini dengan mencatatkan peningkatan bagi menjejaki prestasi Wall Street yang tinggi sejak minggu lepas.
Pada jam 2.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bertambah 7.04 mata kepada 1,626.10 berbanding 1,619.06 pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka tinggi 0.80 mata kepada 1,619.86.
Pasaran secara menyeluruh adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 233 berbalas 161. Manakala, 359 kaunter tidak berubah, 1,713 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 239.24 juta unit yang bernilai RM96.07 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjangka peserta pasaran akan menerima lebih banyak pendedahan dalam pasaran tempatan dan percaya pemangkin pusat data secara keseluruhan akan meningkatkan permintaan terhadap saham dalam sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti serta dijangka menyediakan peluang dalam pembelian saham yang lebih rendah.
Mereka juga perlu memantau pertumbuhan ekonomi China yang akan dikeluarkan pada minggu ini selain daripada meneliti bacaan runcit teras, pengeluaran perindustrian, tuntutan pengangguran dan pendapatan korporat AS.
Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB, masing-masing menambah dua sen kepada RM10.06 dan RM14.48, CelcomDigi naik satu sen kepada RM3.61 manakala Public Bank, CIMB, IHH Healthcare dan Press Metal, masing-masing tidak berubah pada RM4.11, RM7.13, RM6.33 dan RM5.95.
Dalam kalangan kaunter paling aktif, Aimflex dan JAKS, masing-masing naik setengah sen kepada 21 sen dan 18 sen, UUE Holdings meningkat dua sen kepada 94.5 sen, Ramssol melonjak tujuh sen kepada 75.5 sen, Kanger International tidak berubah pada 5.5 sen dan Ekovest merosot setengah sen kepada 50 sen.