Kerajaan China telah meluluskan satu undang-undang baharu bagi Cukai Nilai Tambah (VAT) pada Rabu, yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2026.
Langkah ini bertujuan untuk menyusun semula sistem VAT sedia ada dan memperkukuh peraturan untuk sumber pendapatan terbesar negara, yang menyumbang 38% hasil cukai pada 2023.
Dengan memberi pengecualian cukai kepada sektor penting seperti pertanian, peralatan penyelidikan, dan perkhidmatan kebajikan, China berharap untuk merangsang pemulihan ekonominya yang semakin menurun.
Pada masa yang sama, insentif cukai baharu ini membuka ruang untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara tersebut.
Namun, adakah langkah ini hanya terhad kepada China atau turut memberi kesan kepada Malaysia?
Jika ekonomi China pulih, eksport Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi, minyak sawit, dan gas asli, berpotensi mendapat manfaat besar.
Sebaliknya, dengan inisiatif yang menarik pelaburan asing ke China, persaingan untuk pelaburan mungkin memberi cabaran besar kepada Malaysia, yang juga bergantung pada pelaburan asing untuk berkembang.
Adakah ini peluang untuk Malaysia memanfaatkan pemulihan China, atau adakah ia tanda kepada ancaman baharu yang memerlukan strategi ekonomi yang lebih agresif?