“Memanglah BTC kejap turun kejap naik tapi korang semua kena stay alert tau.”
Melemah semula sehingga $60,215 pada Sabtu lepas, kejatuhan harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) menyebabkan lebih $200 juta positions liquidated dalam masa 24 jam lalu sejurus selepas wakil Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi kenyataan.
Presiden Fed Dallas Lorie Logan semasa berada pada persidangan di New Orleans yang berpandangan sekarang mungkin terlalu awal untuk memikirkan tentang pemotongan kadar faedah juga adalah punca harga BTC terkesan.
Menurut penganalisis pasaran terkemuka Ali Martinez, BTC mampu mencapai $76,610 sekiranya harganya berjaya melepasi $64,290 tetapi jika gagal maka aset digital tersebut boleh menguji semula zon sokongan $51,970.
Namun perlu diketahui spot BTC ETF adalah pemangkin penting yang meletakkannya sebagai aset menarik bagi pemain Kewangan Tradisional (TradFi) susulan JPMorgan Chase dan Wells Fargo termasuk entiti luar pesisir di Eropah serta Hong Kong telah melakukan pendedahan semasanya terhadap BTC ETF.
Dari masa ke masa, terdapat keyakinan sesungguhnya pengurangan permintaan dan bekalan melalui mining dapat memacu harga BTC ke paras tertinggi baharu tidak lama lagi.
Memang pelabur kini menghadapi saat kritikal memandangkan mesin cetak menghasilkan mata wang fiat pada kadar pantas telah menyebabkan prospek penurunan nilai dolar AS makin membimbangkan, tetapi kebangkitan US M2 Money Supply menunjukkan masa depan yang positif untuk BTC.
Di tengah-tengah sentimen menurun yang melanda pasaran kripto, tumpuan pelabur pada masa ini terarah pada terbitan data Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS dan PPI Teras pada Selasa esok yang akan menawarkan pandangan penting tentang dinamik harga merentasi pelbagai sektor.
Pada 14 Mei 2024 pula, terdapat terbitan data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS bersama angka jualan runcit, di mana data-data ekonomi itu akan menjadi penting dalam menyediakan gambaran menyeluruh berhubung arah aliran inflasi serta corak perbelanjaan pengguna.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.87% pada paras $61,434 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran lebih $1 trilion tetapi masih mencatatkan penyusutan 4.51% sepanjang minggu lepas.