Emas didagangkan sekitar $2,030 pada sesi pembukaan pagi tadi dan memulih sedikit berbanding kejatuhan semalam yang mencecah nilai $2,017.
Masih lagi menjadi sebagai panduan utama pasaran, Federal Reserve (Fed) diramalkan akan melanjutkan pendirian pengetatan dasarnya untuk lebih lama dan akan terus memberi tekanan ke atas harga emas.
Sebelum ini pada penghujung 2023, pasaran menjangka bakal berlaku perubahan kepada pelonggaran dasar monetari oleh Fed pada 2024, namun data pekerjaan NFP terbaru yang diterbitkan memberi isyarat yang sebaliknya.
Walau bagaimanapun, para pelabur emas akan mengambil lebih banyak petunjuk daripada laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) pada Khamis ini. Pergerakan emas menunjukkan trend bearish sejak minggu lepas disebabkan oleh data-data ekonomi lebih tertumpu pada kadar inflasi di Amerika Syarikat.
Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) tidak menunjukkan pergerakan ketara pada minggu ini yang dilihat berlegar-legar sekitar paras 102.217 hari ini. Hasil perbendaharaan 10 tahun AS pula menghasilkan kenaikan yang tidak banyak kepada 4.02%.
Semalam, Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic dalam ucapannya menyatakan bahawa kadar inflasi masih melebihi sasaran 2% dan pandangannya untuk dasar monetari kekal ketat walaupun situasi keseluruhan dalam ekonomi lebih seimbang.
Gabenor Fed, Michelle Bowman pula berpendirian bahawa dasar ekonomi terkini sudah mencapai hadnya. Beliau tetap bersedia untuk menaikkan lagi kadar faedah pada mesyuarat akan datang jika data inflasi yang positif terhenti atau berubah arah.
Minggu ini, kita dapat melihat data inflasi akan alami sedikit perubahan disebabkan faktor dorongan baharu. Para pelabur akan menumpukan fokus mereka pada data CPI AS pada Khamis yang dijangka akan meningkat sebanyak 0.2% bulanan dan 3.2% tahunan.
Selain itu, CPI teras yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga dijangka meningkat 0.2% bulanan untuk Disember lepas.