Mengukur kesihatan semasa ekonomi, laporan data PMI bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan diteliti pada Khamis semalam dengan keseluruhan bacaan menunjukkan angka positif melibatkan Jerman, UK dan Amerika Syarikat (AS).
Menjadi tumpuan adalah data PMI AS di sesi New York malam tadi dengan bacaan bagi kedua-dua sektor untuk Mei adalah meningkat berbanding ramalan dan bulan sebelumnya, selain angka berada di atas paras sempadan 50 mata.
Selain itu, data tuntutan faedah pengangguran AS catat bacaan yang baik untuk minggu sebelum ini dengan jumlah tuntutan yang lebih rendah berbanding ramalan.
Kedua-dua bacaan data berikut dilihat memberi isyarat untuk perkembangan ekonomi AS yang baik dan boleh menjangkakan kenaikan inflasi untuk berlaku.
Situasi ini juga turut mendorong mata wang US dolar untuk bergerak kukuh di sesi New York semalam berikutan jangkaan untuk langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) kembali menipis semula.
Ini menyusuli sentimen minit FOMC yang diteliti apabila para pegawai Fed masih dalam keadaan bersedia untuk meningkatkan lagi kos pinjaman jika inflasi terus meningkat.
Data inflasi AS terbaru telah menunjukkan sedikit penurunan seperti ramalan, namun ahli Fed masih ragu-ragu sama ada dasar semasa adalah mencukupi untuk mendorongkan inflasi ke paras sasaran bank pusat.
Namun, pasaran dilihat masih lagi meletakkan jangkaan untuk sekurang-kurangnya 2 kali pemotongan kadar bakal dilaksanakan.
Dagangan emas turut menerima tekanan dengan faktor pengukuhan US dolar di mana harga komoditi itu diheret jatuh lebih rendah lagi sehingga ke paras $2,330.