Emas didagangkan tinggi dan menembusi semula paras $2,000 pada pembukaan dagangan awal pagi tadi. Ia didorong oleh kelemahan dolar AS dan hasil Perbendaharaan AS berikutan data Jualan Runcit AS yang meleset daripada jangkaan pasaran.
Laporan Jualan Runcit AS pada Januari agak mengecewakan dengan menguncup 0.8% berbanding jangkaan penurunan 0.1%. Ini menunjukkan tanda bahawa pembelian barangan isi rumah mula berkurangan.
Harga emas kini berada pada paras $2,005.41 iaitu naik 0.04% sejak pembukaan berbanding ia ditutup semalam pada $1,993.25.
Keputusan laporan semalam mampu mendorong Fed untuk mempercepatkan pelonggaran dasar walaupun sasaran inflasi 2% belum tercapai. Penggubal dasar mungkin mengelak daripada membuat keputusan melulu bagi mencegah tindak balas kepada kelemahan ekonomi.
Bank pusat AS kini masih lagi dalam misi untuk memulihkan kestabilan harga dan mengutamakan mandatnya buat masa ini.
Buat masa ini, para pelabur perlu memantau dengan teliti data Indeks Harga Pengeluar (PPI) pada jam 9.30 malam ini. Pasaran menjangkakan bahawa ia akan merosot pada Januari kepada 0.6% pada asas tahunan daripada 1.9% pada sebelumnya.
Pada teras pula, kekal sederhana kepada 1.6% daripada 1.8% pada bulan Disember.
Walaupun data PPI yang lemah mampu memberi kelebihan kepada harga emas untuk melonjak naik, ia juga menggambarkan bahawa kemampanan ekonomi AS sedikit terbantut kerana disinflasi.
Ia akan turut memberi kesan ketara buat hasil Perbendaharaan dan dolar AS yang seiring apabila pasaran melonggarkan pertaruhan kadar faedahnya yang dovish. Secara tidak langsung, ia akan mengubah arah logam kuning tersebut.