Logam kuning kini memulihkan pergerakannya semalam selepas penarikan semula daripada paras $2,150 pada Selasa dan para pelabur kini nampaknya lebih yakin bahawa Fed mampu mengurangkan kadar faedahnya.
Namun, laporan inflasi terkini yang lebih panas di Amerika Syarikat mungkin menghalang tindakan pegawai Fed untuk melonggarkan dasarnya pada Jun nanti yang bercanggah dengan ramalan pasaran.
Kini, harga emas berada pada paras $2,176.72 iaitu naik sebanyak 0.11% sejak pembukaan dagangan pagi tadi.
Sentimen data ekonomi AS kini menunjukkan pengukuhan walaupun pasaran buruh bergerak tidak ketara buat masa sekarang.
Perkara yang paling mendebarkan buat masa sekarang adalah di mana kadar inflasi kekal melebihi 3.2% dalam tempoh dua belas bulan hingga Februari. Hal ini akan menyukarkan pegawai Fed untuk menentukan masa sesuai untuk mengurangkan kadar faedah.
Minggu lepas, Pengerusi Fed Jerome Powell berkata bank pusat bersedua untuk melonggarkan dasar mereka jika syarat dituruti dan proses disinflasi berterusan.
Beliau juga menekankan bahawa jawapan mereka masih bergantung kepada data-data ekonomi terkini dan tidak akan tergesa-gesa untuk memulakan kitaran pemangkasan. Fed mencuba untuk melihat lebih banyak bukti untuk memastikan penurunan inflasi bergerak lancar.
Dalam pada itu, harga logam kuning kekal dalam pergerakan menaik walaupun hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat tiga setengah mata asas daripada 4.157% kepada 4.19%.
Buat masa ini, para pelabur masih teguhkan posisi mereka bagi menantikan data-data ekonomi AS penting pada jam 8.30 malam ini iaitu laporan Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS, jualan runcit dan tuntutan faedah pengangguran.